Selasa, 17 Oktober 2023

PENDIKIR anjur Pertandingan BAKAT PENDIKIR bagi Mendigitalisasikan Dikir Barat Merentasi Zaman!


PENDIKIR telah mengambil inisiatif untuk mengadakan satu program berfokuskan kepada siri program realiti online streaming buat meneruskan legasi Dikir Barat secara digital. Ini juga bagi menggalakkan peserta-peserta muda meningkatkan daya saing dalam aktiviti dikir secara sihat dan bermunafaat. Program Pertandingan BAKAT PENDIKIR ini adalah julung-julung kali diadakan oleh PENDIKIR dan melalui program ini kami amat berharap agar peserta dapat mengekalkan keunikan dikir barat tradisional yang semakin dilupakan, di samping memupuk aktiviti digital dan streaming yang trending sekarang sebagai media platform baru sumber ekonomi dan sosial kepada Pendikir.

"Kesan semada pandemik tempoh hari begitu melesukan penggiat dikir barat. Ramai yang amat terkesan terutama dari sudut faktor ekonomi dan pengembangan dikir barat secara amnya," jelas Yang DiPertua Persatuan Dikir Barat Kelantan atau PENDIKIR Tuan Mohd. Nor Jaafar.

"Justeru semasa pasca pandemik kita telah berbincang bersama sahabat-sahabat baik dari Kelantan atau luar negeri untuk sama-sama menggembeling idea untuk merancakkan kembali aktiviti dikir barat, baik untuk mengekalkan kelestariannya dan juga mampu menjadikan aktiviti ini sebagai suatu aktiviti sosial enterprise untuk menjana pendapatan,' jelas Nor Jaafar.

Rakaman album Legasi Cenderawasih

"Kita bertuah semasa pandemik, pemilik Loonaq Records menawarkan rakaman dikir barat bersama Kumpulan Legasi Cenderawasih yang telah merakamkan 7 buah lagu kategori Jogho melibatkan 3 pendikir iaitu saudara Haikal Megat Nordin, Raden Mas Uji dan Man Megat. Semasa inilah idea bagi menganjurkan pertandingan BAKAT PENDIKIR ini terhasil dan akhirnya hampir keseluruhan idea ini ini dizahirkan menerusi sebuah kertas cadangan bagi membuat persembahan atau pertandingan mendekatkan dikir barat ini dalam media digital,".


Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya

"Namun masalah kos menjadi halangan sehinggalah pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berjanji memberikan bantuan. Pihak Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pula hadir dengan janji memberikan bantuan dari sudut material seperti venue dan peralatan multimedia serta bantuan kru dari para pelajar," kata Nor Jaafar yang suatu ketika dulu merupakan DJ dan Penerbit Program RTM Kelantan yang popular di samping aktivis Dikir Barat.

Foto bersama dari kiri Haji Rozman Abas dari Loonaq Records, YBhg Dato Shaharudin Sohot (Setiausaha Kanan Pengurusan MOTAC) dan Tuan Nor Jaafar (YDP PENDIKIR)


"Tindakan PENDIKIR untuk bergabung di dalam Gabungan Persatuan Industri Muzik Malaysia (Music Malaysia) bagi meneroka ruang lebih besar kepada komuniti pendikir adalah tepat. Hubungan rapat bersama Dato Fredie Fernandez (Pengerusi) dan Haji Rozman Abas (Setiausaha) menjadi jambatan kepada idea digitalisasi ini dan diharap generasi baru anak-anak muda tidak akan menganggap dikir barat adalah sesuatu yang lapuk dan ditelan zaman, jelas Nor Jaafar mengakhiri perbualan.


Pendaftaran untuk menyertai Pertandingan BAKAT PENDIKIR sekarang adalah dibuka sehingga 23 Oktober 2023 ini. Sila klik di sini untuk mengisi borang dan submit kepada pengurusan atau hubungi
kami untuk keterangan lanjut (jika ada keperluan) di talian whatsapp di +60 12-989 9293, +60 19-368 2548+ 60 12-339 3711 di Urusetia Pusat dan untuk bantuan pendaftaran ke urusetia program di talian whatsapp   +6013 353 3397 (Puan Atie).

#pertandingandikirbarat
#dikirbaratkelantan
#bakatpendikir


Kenali Dikir Barat

 

Dikir Barat

Dikir Barat adalah suatu permainan tradisional yang paling digemari oleh masyarakat Melayu di Kelantan. Ianya wujud di kalangan masyarakat biasa di kampung kampung dan pinggir bandar.

Di dalam persembahan Dikir Barat terdapat satu kumpulan yang diketuai oleh seorang Tukang karut dan Tok Juara. Mereka akan mengarut sambil berbalas - balas pantun dan diikuti oleh awak awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.

Dikir barat ini boleh dipersembahkan sebagai hiburan atau pun dipertandingkan. Permainan ini biasanya dimainkan oleh masyarakat di musim menuai padi dan juga di majlis perkahwinan. Pertandingan selalunya diadakan oleh persatuan-persatuan belia tempatan, badan-badan kerajaan ataupun orang-orang tertentu untuk mengutip wang.

Dikir Barat adalah permainan yang baru jika dibandingkan dengan teater tradisional yang lain. Perkembangannya sukar diatasi kerana ianya sering menerima perubahan dari bentuk persembahannya dari masa ke semasa mengikut perkembangan zaman.

Perkataan Dikir ialah hasil dari dua kombinasi seni iaitu Dikir dan pantun atau dikir dan karut. Pengertian "Karut" itu sendiri ialah dari istilah mengarut dalam bentuk pantun atau syair. Jadi Dikir Barat, Dikir Karut, Dikir pantun dan Dikir Syair adalah sama ertinya. Walau bagaimanapun di Kelantan ianya lebih terkenal dengan Dikir Barat dan di Selatan Thai dengan Dikir Karut.

ASAL DIKIR BARAT MASIH DIPERTIKAI

- Sumber: Bintang Popular (Berita Minggu - 27 Januari 2008, oleh Suzan Ahmad)

Tahukah anda dikir barat adalah satu bentuk persembahan nyanyian. Asal usul kewujudannya sehingga kini masih diperdebatkan, namun kebanyakan menerimanya sebagai bentuk seni yang datang dari selatan Thailand atau utara Semananjung Malaysia.

Dalam lingkungan masyarakat petani, dikir barat dipersembahkan sebagai upacara keagamaan atau sambutan sempena musim menuai. Kini, persembahan dikir barat lebih berperanan sebagai satu bentuk hiburan. Begitupun, pertandingan antara kumpulan dikir barat juga sering diadakan. Sehingga kini, Singapura dan dua negeri di Malaysia – Kelantan dan Terengganu adalah antara negeri yang masih mempersembahkan dikir barat secara aktif.

Kita memanggilnya dikir, perkataan yang bunyinya ada persamaan dengan perkataan Melayu zikir yang bermakna doa atau amalan keagamaan, sesuatu yang dilihat oleh penduduk di utara semenanjung Malaysia dan diamalkan orang Thai setiap musim menuai padi. Barat pula bermakna kedudukan geografi, orang utara dulu menganggap Thailand berada di sebelah barat padahal dari segi kedudukan geografinya, ia berada di utara Malaysia. Memandangkan nama itu sudah sebati dengan penggunaan, ia kekal sehingga ke hari ini dan tidak pernah diubah.

Budaya dikir barat kemudian terus menular ke selatan, Singapura sekitar 1970-an. Pelbagai pertandingan dianjurkan badan kerajaan setiap tahun dan sambutan terhadapnya begitu baik sehingga ke hari ini, biarpun Singapura kini adalah kota metropolitan yang maju.

Sejarahnya bermula dengan tarian

Banyak kajian dilakukan untuk mengesan sejarah sebenar dikir barat di Malaysia. Menurut sumber sejarah, dikir barat wujud dari sebuah tarian yang dipanggil Tarian Patung Inai – tarian yang sangat popular dikalangan masyarakat Siam dan Kelantan sekitar tahun 1800 hingga 1940. Kemudian, seorang penggiat seni ini yang dikenali sebagai Pak Leh Tapang atau Haji Salleh menukarnya menjadi nama dikir barat.

Tarian Patung Inai adalah tarian tradisional yang dipersembahkan ketika majis perkahwinan di mana seorang ketua (Tok Jogha) akan menyanyikan lagu dan diikuti secara beramai-ramai anggota dikir lain. Muzik dikir barat pula punya pengaruh ritma rebab atau rebana Sunda. Aktiviti ini sudah menjadi amalan kebiasaan setiap kali berlangsungnya majlis perkahwinan di perkampungam Melayu.

Dikir barat juga ada kaitan dengan dikir laba atau lebih dikenali sebagai dikir Punjab bermaksud drama dalam bahasa Punjab (Hindustan) dan mempunyai kaitan rapat dengan Qawwali, iaitu budaya popular di kalangan orang India. Dalam dikir laba, anggotanya akan menyanyikan lagu dan cuba mengikuti rentak dengan menggerakkan badan. Mereka juga perlu menyanyi menerusi nada yang tinggi.

Tidak kira apa bentuk dikir sekalipun, Tok Jogha punya tanggungjawab besar untuk menghidupkan lagu yang dipersembahkan itu. Pada 1948, Pak Leh Tapang mengubah cara Tarian Patung Inai iaitu dimainkan dengan mengadaptasi beberapa elemen dari dikir laba dan dikir Punjab.

Perkataan barat diambil dari gelaran yang diberikan orang Kelantan kepada masyarakat Siam. Ada juga pihak memnbawa teori bahawa perkataan barat datang dari perkataan 'Bharat', nama lama kepada benua kecil India. Ia juga boleh dikira logik memandangkan pengaruh dari konteks dikir Punjab.

Fungsi Tukang Karut

Elemen asas dalam kumpulan dikir barat adalah dua teraju utamanya, iaitu Juara dan Tukang Karut. Anggota kumpulan dikir barat tidak terhad kepada jumlah tertentu. Di Singapura, ketika berlangsungnya pertandingan, saiz standard kumpulan ialah dua teraju utama – 14 awak-awak dan empat pemain muzik percussion.

Juara ialah penyanyi utama kumpulan dikir dan biasanya berperanan memulakan persembahan diikuti Tukang Karut. Tidak seperti Juara, Tukang karut akan berinteraksi dengan penonton menerusi gelagatnya. Tukang Karut yang bijak memberikan persembahan menghiburkan sebagai berkesan fungsinya sebagai penghibur. Juara pula biasanya adalah penyanyi yang memiliki suara cukup mendayu.

Awak-awak biasanya akan menyanyikan korus pada dikir. Mereka akan menyanyi dan menari dalam keadaan duduk mengikut irama yang didendangkan oleh dua teraju utama. Pemuzik percussion pula terdiri daripada ibu rebana, anak rebana, maracas, trambouline, gong dan canang.

Ibu rebana, adalah percussion paling penting. Anak rebana pula berfungsi sebagai penyokong kepada ibu rebana dan lebih kecil dari segi saiz namun memiliki nada lebih tinggi. Gong dan canang pula memperkemaskan lagi tempo. Canang adalah gong tradisional Melayu bersaiz kecil yang diletakkan di atas lantai. Maracas dan trambouline pula biasanya digunakan untuk kesan bunyi tambahan kepada muzik itu. Trambouline biasanya dimainkan seorang teraju utama ketika anggota lain menyanyi.

Dikir barat, di Kelantan dipercayai dipelopori Pak Leh Tapang, diikuti Pak Ku Mat, Seman Wau Bulan, Husin Gelang Mas, Jusoh Kelong, Daud Bukit Abal, Arifin Ana. Kemudian generasi baru terdiri daripada penyanyi dikir seperti Halim Yazid, Zaidi Buluh Perindu, Mat Gelemor dan Megat Nordin.

Thursday, October 18, 2018


Sebelum saya menceritakan berkaitan dengan pengalaman saya dalam seni 'dikir barat', maka terlebih dahulu kita mesti mengenali seni dikir barat. Apa yang saya paparkan dalam blog ini sebenarnya sudah pun dinyatakan dalam blog-blog atau laman-laman web lain. Cuma kali ini saya ada tambahkan sedikit maklumat berkaitan dengan asal usul dikir barat.

'Dikir barat' merupakan salah satu persembahan kesenian tradisional yang paling diminati khususnya di negeri Kelantan. Ia boleh dianggap sebagai persembahan tradisional yang baru jika dibandingkan dengan persembahan tradisional yang lain. Perkataan 'dikir' mempunyai persamaannya dengan perkataan zikir iaitu satu sebutan yang memuji Allah s.w.t. Manakala perkataan barat pula merujuk kepada “Selatan Thailand”. Orang-orang dahulu di Kelantan menganggap bahawa daerah di utara mereka adalah sebelah barat. Dari sini timbul satu pendapat bahawa 'dikir barat' ini berasal dari Thailand. Penggunaan perkataan dikir juga banyak digunakan selain dikir barat seperti dikir Pahang, 'dikir maulud', 'dikir rebana' dan 'dikir berarak'. Namun begitu dikir barat juga mempunyai nama-nama lain seperti 'dikir karut', 'dikir pantun' dan 'dikir syair'.

'Dikir barat' lebih dikenali di Kelantan manakala dikir karut lebih dikenali di Selatan Thailand. Pada suatu ketika dahulu dikir barat dimainkan selepas musim menuai padi. Namun pada masa kini dikir barat tidak lagi dimainkan mengikut musim tetapi dimainkan sama ada dalam bentuk persembahan untuk majlis-majlis rasmi, persembahan hiburan bertiket dan persembahan dalam bentuk pertandingan.

Pensejarahan mengenai asal usul 'dikir barat' adalah amat kabur kerana masih tiada lagi sumber-sumber utama dalam bentuk catatan untuk mengesahkan asal usulnya secara mutlak. Asal usul mengenainya hanya diambil daripada perbualan orang-orang sama ada mereka yang terlibat secara langsung atau tidak. Dari sini telah timbul pelbagai polemik atau tentang asal usul 'dikir barat'. Dibawah ini disenaraikan beberapa pendapat tentang asal usul dikir barat.

a) 'Dikir Barat' Berasal Dari Selatan Siam: Beberapa pendapat telah diperkatakan tentang asal-usul 'Dikir Barat'. Ada yang mengatakan ianya berasal dari Selatan Siam. Sebenarnya 'Dikir Barat' ini yang lebih terkenal dengan nama 'Dikir Karut' dibawa dari Negeri Siam ke Negeri Kelantan. Mengikut orang-orang Kelantan, perkataan Barat ini bermakna Selatan Siam. Ini tidak dapat dinafikan kerana padaa suatu ketika dahulu Negeri Kelantan ini pernah diperintah oleh Kerajaan Siam. Rakyat daripada kedua dua buah negeri ini selalu berulang-alik dan dengan secara langsung 'Dikir' ini dibawa ke sini dan diterima pula oleh masyarakat. Ketika ianya dibawa ke Kelantan ianya adalah dalam bentuk 'Dikir' dan di sana juga ianya ditambah dengan pantun-pantun dan diubahsuai dari segi persembahan dan loghatnya sesuai dengan keadaan sekeliling dan suasana tempatan.

b) 'Dikir Barat' Berasal Dari Pulau Tebu: Ada orang mengatakan bahawa 'Dikir Barat' ini berasal dari Pulau Tebu kerana pengasasnya ialah Husain Mok Nab Lombong yang berasal dari sana. Sewaktu beliau memperkenalkan 'Dikir Barat', ramai orang menganggap 'Dikir Barat' sebagai satu hasil seni yang baru kerana iramanya boleh disesuaikan dengan irama yang telah sedia ada seperti Rebana Besar.

c) 'Dikir Barat' Berasal Dari Ciptaan Pak Leh Tapang.Bila memperkatakan 'Dikir Barat', nama Pak Leh Tapang tidak boleh dilupakan. Ramai orang mengenali beliau kerana 'Dikir Barat'. Pak Leh Tapang atau nama sebenarnya Haji Mat Salleh bin Hj. Ahmad berasal dari Kampung Tapang, Kota Bharu. Beliau telah mengakui sendiri yang 'Dikir Barat' ini sebenarnya berasal dari Selatan Siam. Beliau telah mengubahkan permainan ini dengan menambahkan pantun-pantun di dalamnya. Jadi sebelum itu, ketika 'Dikir Barat' dibawa ke Kelantan ianya adalah dalam bentuk 'Dikir' tanpa pantun. Semasa pemerintahan Jepun, beliau pernah dipanggil untuk meriwayatkan sesuatu dengan cara berpantun. Masa itu juga ada satu kumpulan berdikir yang diketuai oleh Jaffar Wakaf Mek Zainab yang memperkenalkan 'Dikir Barat' di kampungnya. Awak-awaknya terdiri daripada orang-orang Melayu Barat (Selatan Siam). Mereka melagukan lagu-lagu yang dibawa dari Selatan Siam dan Pak Leh Tapang pula yang mengubah dan menambahkan dengan pantun-pantun untuk menyedapkan lagi 'dikir barat'.

d) 'Dikir Barat' Berasal Dari Pulau Kerengga: Mengikut keterangan yang diberikan oleh Nik Abd. Rahman bin Nik Dir (PakNik Man) 'dikir barat' berasal dari Pulau Kerengga iaitu satu daerah di dalam jajahan Narathiwat di selatan Siam. Seorang yang bernama Pak Sa berasal dari Pulau Kerengga telah masuk ke Kelantan dalam tahun 1931 dan telah ditangkap oleh Pak Nik Man sendiri ketika bertugas sebagai pegawai kastam.Pak Sa telah masuk tanpa pasport dan menyeludup barang. Pak Sa telah ditangkap dan dipenjarakan tetapi setahun kemudian beliau telah memperkenalkan dikir barat kepada orang-orang Kelantan. Oleh kerana beliau berasal dari Pulau Kerengga maka timbullah pendapat yang mengatakan 'dikir barat' berasal dari sana.

e) 'Dikir Barat' Berasal Dari Ilham Budak Penjaga Lembu: Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa 'dikir barat' berasal daripermainan budak-budak yang menjadi gembala lembu di padang rumput. Pada tahun 1930-an terdapat ramai pencuri lembu berkeliaran di padang rumput. Oleh kerana ketakutan budak-budak penjaga lembu ini dudukberkelompok dan berdikir beramai-ramai. Mereka akan menyanyi dan berpantun sambil sindir-menyindir sesama mereka untuk menghibur hati dan melupakan perasaan takut terhadap perompak tadi. Dari peristiwa inilah timbulnya permainan 'dikir barat'.

f)'Dikir Barat' adalah persembahan asli rakyat Kelantan yang berasal daripada gabungan berbagai jenis dikir yang lain seperti 'dikir rebana besar', 'dikir laba', 'dikir rebana kerching', 'dikir budak' dan pantun inai.

Dan, pendapat terbaru tentang asal usul 'dikir barat' ialah…

g) 'Dikir Barat' Berasal Dari Kota Baru, Reman, Selatan Siam (Thailand): Pendapat ini dikemukakan oleh seniman 'dikir barat' terkenal Dollah Tok Deh yang telah menguatkan lagi hujah bahawa 'dikir barat' sememangnya berasal dari Selatan Siam. Cuma kali ini beliau dengan lebih terperinci menerangkan tempat asal 'dikir barat' iaitu di Kota Baru, Reman. Beliau menyatakan bahawa nama asal 'dikir barat' ialah 'dikir hulu' iaitu di kawasan pedalaman daerah Yala, Kota Baru. Beliau menyatakan bahawa persembahan 'dikir barat' ini pertama kali di persembahkan kepada pemerintah salah sebuah wilayah di selatan Siam iaitu Sultan Abdul Kadir sempena majlis berkhatan putera baginda. Untuk keterangan lanjut boleh lawati sumber YouTube https://youtu.be/Vpm7QHZI3mo

Daripada pendapat-pendapat yang diutarakan diatas adalah sukar untuk kita mengetahui yang mana pendapat tersebut yang benar-benar mutlak untuk kita mengetahui asal usul 'dikir barat'. Kita berharap satu hari nanti akan muncul satu pendapat mutlak tentang asal usul 'dikir barat' ini.

Profile Cikgu Ise Kota

Saya Adlisham Mohammad atau nama pentas Ise Kota berasal dari Kampung Kota, 7 km dari bandar Kota Bharu. Mendapat pendidikan peringkat rendah di SK Kota, peringkat menengah rendah di SMK Kota dan menengah atas di SM Teknik Bachok. Seterusnya menduduki STPM di SMK Kota. Berikutnya menyambung pengajian ke peringkat Sarjanamuda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Begitu meminati seni dikir barat dan mula bergiat semenjak di bangku sekolah lagi. Dalam seni dikir barat saya adalah tok juara@jogho dan mempunyai sedikit kemahiran asas bermain alat muzik dikir barat. Pernah berguru dengan Jemi Bukit Marak dan beberapa pendikir di Kelantan. Kenangan manis adalah apabila kumpulan saya Tunas Warisan UKM mendapat johan dalam pertandingan dikir barat seluruh IPTA Malaysia tahun 2007. Sekarang saya berkhidmat sebagai pendidik di sekolah menengah sekitar Lembah Kelang.

Che Daud Tok Deh merupakan tukang karut yang sinonim dengan dikir barat Kelantan.
https://youtu.be/xDyiI7oJKN0


TOKOH SENI : PENGASAS DIKIR BARAT

By Kelab Pencinta Sejarah Kelantan on October 30, 2012

Mat Salleh bin Haji Ahmad, Pengasas Dikir Barat

Mat Salleh Bin Haji Ahmad atau dikenali Pak Leh Tapang dilahirkan di kampung Tapang, Panji Kota Bharu, Kelantan (1927). Beliau adalah pengasas dan pendikir barat terulung di negeri Kelantan.

Beliau orang pertama mengubah corak dikir sedia ada iaitu dikir laba kepada corak baru dengan mempertahankan pantun. Istilah tukang karut juga adalah idea beliau. Memulakan karier di bangsal kecil di kampung-kampung sehingga ke peringkat istana.

Pada masa itu, dikir barat hanyalah satu hiburan untuk orang-orang kampung, petani dan nelayan. Beliau menggunakan media dikir barat sebagai satu bentuk pendidikan, nasihat dan dakwah selain berhibur melalui kata-kata dan pantun yang keluar secara spontan.

Kariernya sampai kemuncak apabila tertubuhnya Dendang Rakyat anjuran RTM di mana beliau terlibat sebagai pengasas dan mempopularkan dikir barat sehingga mendapat liputan di media elektronik.

Atas jasa dan ketokohannya beliau dianugerahi Surat Kepujian tahun 1988 dan Pingat Setia (PS) 1994 oleh Sultan kelantan. Beliau pulang kerahmatullah pada 17 Mac 2006 ketika berusia 79 tahun.

#dikirbarat
#pendikir
#bakatpendikir2023