Selasa, 17 Oktober 2023

PENDIKIR anjur Pertandingan BAKAT PENDIKIR bagi Mendigitalisasikan Dikir Barat Merentasi Zaman!


PENDIKIR telah mengambil inisiatif untuk mengadakan satu program berfokuskan kepada siri program realiti online streaming buat meneruskan legasi Dikir Barat secara digital. Ini juga bagi menggalakkan peserta-peserta muda meningkatkan daya saing dalam aktiviti dikir secara sihat dan bermunafaat. Program Pertandingan BAKAT PENDIKIR ini adalah julung-julung kali diadakan oleh PENDIKIR dan melalui program ini kami amat berharap agar peserta dapat mengekalkan keunikan dikir barat tradisional yang semakin dilupakan, di samping memupuk aktiviti digital dan streaming yang trending sekarang sebagai media platform baru sumber ekonomi dan sosial kepada Pendikir.

"Kesan semada pandemik tempoh hari begitu melesukan penggiat dikir barat. Ramai yang amat terkesan terutama dari sudut faktor ekonomi dan pengembangan dikir barat secara amnya," jelas Yang DiPertua Persatuan Dikir Barat Kelantan atau PENDIKIR Tuan Mohd. Nor Jaafar.

"Justeru semasa pasca pandemik kita telah berbincang bersama sahabat-sahabat baik dari Kelantan atau luar negeri untuk sama-sama menggembeling idea untuk merancakkan kembali aktiviti dikir barat, baik untuk mengekalkan kelestariannya dan juga mampu menjadikan aktiviti ini sebagai suatu aktiviti sosial enterprise untuk menjana pendapatan,' jelas Nor Jaafar.

Rakaman album Legasi Cenderawasih

"Kita bertuah semasa pandemik, pemilik Loonaq Records menawarkan rakaman dikir barat bersama Kumpulan Legasi Cenderawasih yang telah merakamkan 7 buah lagu kategori Jogho melibatkan 3 pendikir iaitu saudara Haikal Megat Nordin, Raden Mas Uji dan Man Megat. Semasa inilah idea bagi menganjurkan pertandingan BAKAT PENDIKIR ini terhasil dan akhirnya hampir keseluruhan idea ini ini dizahirkan menerusi sebuah kertas cadangan bagi membuat persembahan atau pertandingan mendekatkan dikir barat ini dalam media digital,".


Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya

"Namun masalah kos menjadi halangan sehinggalah pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berjanji memberikan bantuan. Pihak Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pula hadir dengan janji memberikan bantuan dari sudut material seperti venue dan peralatan multimedia serta bantuan kru dari para pelajar," kata Nor Jaafar yang suatu ketika dulu merupakan DJ dan Penerbit Program RTM Kelantan yang popular di samping aktivis Dikir Barat.

Foto bersama dari kiri Haji Rozman Abas dari Loonaq Records, YBhg Dato Shaharudin Sohot (Setiausaha Kanan Pengurusan MOTAC) dan Tuan Nor Jaafar (YDP PENDIKIR)


"Tindakan PENDIKIR untuk bergabung di dalam Gabungan Persatuan Industri Muzik Malaysia (Music Malaysia) bagi meneroka ruang lebih besar kepada komuniti pendikir adalah tepat. Hubungan rapat bersama Dato Fredie Fernandez (Pengerusi) dan Haji Rozman Abas (Setiausaha) menjadi jambatan kepada idea digitalisasi ini dan diharap generasi baru anak-anak muda tidak akan menganggap dikir barat adalah sesuatu yang lapuk dan ditelan zaman, jelas Nor Jaafar mengakhiri perbualan.


Pendaftaran untuk menyertai Pertandingan BAKAT PENDIKIR sekarang adalah dibuka sehingga 23 Oktober 2023 ini. Sila klik di sini untuk mengisi borang dan submit kepada pengurusan atau hubungi
kami untuk keterangan lanjut (jika ada keperluan) di talian whatsapp di +60 12-989 9293, +60 19-368 2548+ 60 12-339 3711 di Urusetia Pusat dan untuk bantuan pendaftaran ke urusetia program di talian whatsapp   +6013 353 3397 (Puan Atie).

#pertandingandikirbarat
#dikirbaratkelantan
#bakatpendikir


Latest
Next Post

0 ulasan: